Monday, June 7, 2010

Ibuku..di sana ada syurga menanti!

Pemuda berusia 24 tahun itu tidak tidur pada malam 24 Januari 2002. Sejak tadi, dia asyik mencatat sesuatu pada sehelai kertas.

Catatan itu lahir dari hati nuraninya yang tulus. Pemuda ini mahu, catatannya nanti akan dibaca bukan sahaja oleh ibunya bahkan untuk adik-adiknya, ahli keluarganya, seluruh warga bumi Palestin, seluruh umat Islam dan semua masyarakat dunia yang cintakan kedamaian dan kebebasan di muka bumi Allah ini. Harapanya biarlah catatannya ini akan menjadi peransang kepada pemuda sebangsa dan seagama dengannya berjuang dan terus berjihad melawan musuh.

Pemuda ini tidak rela tanah airnya dinodai, bangsanya dihina, maruah gadis-gadis dicabul dan diperkosa musuh dengan sesuka hati.

Seperti mana pejuang-pejuang terdahulu, pemuda ini telah merancang sesuatu untuk menyekat kemaraan dan kerakusan musuh dari terus bermaharajalela di kampung halamannya. Dia bersama sahabat baiknya akan bertindak dahulu sebagai amaran kepada musuh yang mungkin akan memasuki kampungnya selepas segala rancangan untuk menghalau penduduk kampung jiran disempurnakan.

Sebaik surat ini siap ditulis, dia akan pergi bersama Hamdi melakukan satu misi sulit yang perlu dilakukan segera. Surat itu ditujukan atas nama ibunya dan diletakkan di atas meja dalam kamar ibu sementara ibunya sedang menyediakan sarapan pagi. Si ibu agak kehairanan kerana melihat anaknya terkejar-kejar seperti ada sesuatu hendak dilakukan segera dan hanya sempat menjamah secebis roti.

Si ibu meneliti sekeping kertas yang diselitkan di bawah sikat miliknya lalu segera membacanya dengan penuh rasa hiba.

“ Ibuku, sesungguhnya aku akan pergi meninggalkanmu, maka bergembiralah kerana selepas kematian itu ada syurga menanti. Sebaik mendengar berita kematianku, bertakbirlah wahai ibu!

“ Ampunkan dosaku sekiranya selama ini aku cuai dalam melaksanakan hak mu wahai ibu. Demi Allah, aku ingin nyatakan bahawa di saat aku menulis kalimah-kalimah ini, air mataku berguguran jatuh.. Hatiku bimbang jika perjuanganku ini tidak mendapat restu darimu ibu..

“ Tapi apakan dayaku.. Di sana ada syurga Allah, anugerah yang paling mahal, tidak ternilai.. Bersabarlah wahai ibuku, sesungguh janji-Nya untuk kita yang berjuang adalah syurga. Bukankah itu cita-cita yang kita impikan wahai ibuku tercinta..?

“ Didiklah adik-adikku seperti mana engkau telah mendidikku supaya cintakan jihad fi sabilillah dan doronglan mereka supaya menghampiri masjid dan mendampingi ulamak-ulamak supaya mereka dapat belajar daripada al-Quran kalamullah.”- Hosam Mahmoud Al-Ghulam.

Esoknya, televisyen al-Jazeera melaporkan dua pemuda Palestin telah terbunuh sewaktu cuba melakukan serangan ke atas trak yang membawa askar-askar Israel di sempadan Ghaza. Mereka syahid serta merta ditempat kejadian selepas seluruh badan mereka ditembusi peluru. Dua pemuda yang syahid itu ialah Hosam Mahmoud Al-Ghulam, 24 dan Hamdi Abdelrahman, 23.

Si ibu merelakan pemergian anaknya kerana anaknya itu syahid untuk membebaskan tanah airnya yang tercinta. Ibu yakin itulah semulia-mulia pemergian seorang pejuang yang berjuang di jalan Allah. Mengertilah si ibu bahawa anaknya itu terkejar-kejar kerana sudah tidak sabar untuk bertemu dengan Tuhannya. Sewaktu mencium jenazah kali terakhir, ibunya terbau kasturi dari roma wajah anaknya yang tersenyum manis seperti telah mendapat sebuah kejayaan.

Sambil menitiskan air mata, si ibu tersenyum bangga dengan kesyahidan anaknya tercinta. Anakku.. di sana ada syurga menantimu!

0 untaian kata:

Post a Comment