PENGERTIAN SANAD DAN IJAZAH (DALAM ILMU QIRA’AT)
Ilmu Qira’at mempunyai satu disiplin ilmu yang diistilahkan sebagai sanad dan ijazah. Kedua terminologi ini sebenarnya tidak jauh berbeza dengan istilah dan kaedah yang digunakan dalam disiplin ilmu Hadith. Oleh sebab itu, untuk mendalami makna kedua-dua terminologi tersebut tidak salah jika merujuk kepada disiplin yang digunakan di dalam ilmu hadith yang secara keseluruhannya menitik berat metod periwayatan.
Kata sanad boleh memberi makna anak bukit yang menjulang tinggi dari permukaan bumi. Adapun makna sanad secara terminologi adalah rentetan mata rantai matan yang terdiri daripada beberapa orang perawi yang bersambung-sambung. Demikianlah pengertian yang dimaksudkan dalam disiplin ilmu Hadith begitu juga di dalam ilmu Qira’at. Kedua-dua disiplin sanad ilmu Hadith dan Qira’at menghubungkan antara perawi bagi ilmu Hadith dan Qari bagi ilmu Qira’at bermuara hingga kepada Rasululllah s.a.w.
Ijazah diambil daripada istilah rangkap kata jawaz al-ma’ al-ladzi tasyqahu al-masyiyah (upayamu untuk menuangkan air bagi haiwan ternakan). Istilah ini juga digambarkan dari rangkap kata istajaztuhu fa’ajazani (aku meminta air daripadanya, lantas dia memberikan kepadaku air sampai puas). Istilah-istilah tersebut memberi pedoman seseorang yang meminta supaya diberi kepadanya curahan ilmu, lalu guru mencurahkan ilmu yang dia miliki kepadanya.
Al-Suyuthi di dalam kitabnya al-Itqan fi ‘Ulum al-Qur’an ada menjelaskan kronologi terbentuknya istilah ijazah dalam disiplin ilmu. Menurutnya, seorang pelajar yang ingin menuntut suatu ilmu kepada seorang guru peringkat awalnya tidak mengetahui penguasaan ilmu yang dikuasai oleh guru tersebut. Oleh itu, ijazah adalah sebagai perakuan dan persaksian dari pihak guru bahawa dia adalah seorang yang mahir dalam bidang tersebut. Ijazah juga adalah satu tanda keizinan yang diberikan oleh seorang guru kepada muridnya untuk meriwayatkan apa yang telah dipelajari dan diambil daripada guru tersebut.
Setiap ilmu yang bersifat transfer of subject matter (pemindahan maklumat) akan memerlukan satu sistem aliran yang boleh menjamin keaslian maklumat yang disampaikan (sanad). Sistem sanad merupakan salah satu mekanisma pancarian ilmu dan maklumat yang sempurna kerana setiap maklumat yang dipindahkan itu dapat dipertanggungjawabkan melalui rantaian setiap perawi. Ketelitian ini dapat dilihat daripada kaedah ulama’ hadith dengan hanya mengambil hadith daripada perawi yang tsiqah. Begitu juga dengan kaedah disiplin ilmu Qira’at.
Disiplin ilmu ini dianggap suatu yang sangat penting dalam menjamin kesahihan dan ketulenan ilmu yang disampaikan sehingga dianggap sebahagian urusan atas kepentingan agama seperti ungkapan Imam Ibnu Sirin (110H/728M)
إِنَّ هَذَا العِلْمَ دِينٌ فَانظُرُوا عَمَّنْ تَأْخُذُونَ دِينَكُمْ
“Sesungguhnya ilmu ini (ilmu riwayat) termasuk urusan agama. Oleh kerana itu, perhatikanlah daripada siapa kamu mengambil ajaran agama kamu”
Abdullah bin al-Mubarak (181H/797M) juga ada menyatakan kepentingan ilmu sanad ini dalam ungkapannya:
الإِسْنَادُ مِنَ الدِّينِ وَلَوْ لا الإِسْنَادُ لَقَالَ مَنْ شَاءَ مَا شَاءَ
“Rangkaian sanad itu merupakan sebahagian dari agama. Kalau bukan kerana masih bertahan sistem sanad, pasti siapapun akan mengatakan apa sahaja yang ingin dikata”
1 untaian kata:
ustat ya
Post a Comment