Tuesday, August 31, 2010

10 Akhir Ramadhan

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah kita telah melangkah ke sepuluh malam terakhir Ramadhan 1431. Malam-malam yang menjanjikan keberkatan yang banyak dan malam yang patut direbut oleh seluruh umat untuk diisi dengan ibadah dan munajat kepada Allah. Di antara malam-malam ini ada satu malam yang tersangat istimewa yang dipanggil

Malam Qadar (ليلة القدر). Insya-Allah akan dibincang selepas ini.

Di dalam bulan Ramadhan terdapat tiga peristiwa agung yang perlu diingat dan diteladani oleh umat Islam iaitu:

1) Penurunan Al-Quran (نزول القرءان)

Permulaan peristiwa ini berlaku pada 17 Ramadhan tahun pertama kerasulan. Ketika ini Nabi Muhammad s.a.w berumur 40 tahun.

2) Perang Badar (غزوة بدر الكبرى)

Peristiwa ini berlaku pada 17 Ramadhan tahun ke 15 kerasulan. Ketika ini usia Nabi Muhammad s.a.w 55 tahun.

3) Pembukaan Kota Mekah (فتح مكه)

Pembukaan ini berlaku pada 10 Ramadhan tahun ke 21 kerasulan dan usia Nabi Muhammad s.a.w ketika ini ialah 61 tahun.


Malam Qadar mempunyai tanda-tanda yang tersendiri untuk dikenali dan dirasai seperti yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam Hadith-hadithnya. Di antara tanda-tanda yang boleh diperhatikan ialah :

ثبت في صحيح مسلم من حديث أُبي بن كعب أن النبي صلى الله عليه وسلم أخبر أن من علاماتها أن الشمس تطلع صبيحتها ولا شعاع لها

Disebut dalam Sahih Muslim daripada Ubai Bin Ka’ab bahawa Nabi s.a.w telah mengkhabarkan daripada tanda-tandanya(Lailatul Qadr) matahari terbit pada paginya tanpa sinar yang benderang

عن ابن عباس أن النبي صلى الله عليه وسلم قال:"ليلة القدر ليلة طلقة لا حارة ولا باردة، تُصبح الشمس يومها حمراء ضعيفة" رواه الطيالسي وسنده صحيح

Daripada Ibnu Abas bahawa Nabi s.a.w telah bersabda “ Malam Qadar adalah suatu malam yang tenang dan temteram, tidak terlalu panas dan tidak pula terlalu sejuk, akan terbit matahari pagi dengan cahaya kemerahan yang lemah”

عن واثلة بن الأسقع رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال:"ليلة القدر ليلة بلجة لا حارة ولا باردة لا يُرمى فيها بنجم" رواه الطبراني بسند حسن

Daripada Wasilah Bin Al-Asqa’ r.a bahawa Nabi s.a.w telah bersabda “Malam Qadar adalah malam yang tidak dilitupi awan, tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk, tiada padanya(Lailatul Qadr) bintang(lemparan kepada syaitan)”

Dan terdapat juga tanda-tanda lain untuk mengenali Lailatul Qadar yang disebut oleh Nabi s.a.w ataupun tidak. Ada juga yang tidak disebut oleh Nabi s.a.w namun tanda-tanda ini dapat dilihat dan dirasai oleh hamba-hamba-Nya yang terpilih seperti pokok bersujud, suara berzikir dan lain-lain. Ini adalah kemulian yang Allah telah berikan kepada hamba-Nya.

Walau apa pun tanda dan alamat yang Allah telah tunjukkan, namun ianya tidak bermakna jika tidak dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Beribadah dengan penuh khusyuk, tawaduk, penuh pengharapan dan penyesalan. Mudahan segala ibadah kita diterima dan segala dosa kesalahan yang lalu diampuni-Nya. Itulah selayaknya kita sebagai hamba untuk sepanjang malam walaupun malam yang dilalui bukanlah Lailatu Qadar.

اللّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنَّا


Pokok sujud??

Wednesday, August 11, 2010

Tahniah..

Alhamdulillah

Sekalung Tahniah..

Rasa syukur tidak terhingga atas kejayaanmu..

Kami di sini turut gembira dan menumpang bangga..

Semoga, segala yang diusahakan sentiasa mendapat rahmat dan kasih sayang dari-Nya..

Terima kasih kerana kejayaan ini amat bermakna

Sebagai permulaan dan pendorong buat insan yang lemah ini..

RAMADHAN AL-MUBARAK 2010

Alhamdulillah..

Rasa syukur tidak terhingga kerana kali ni bertemu lagi dengan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan..

“Ya Allah, teguhkan hati kami dengan iman dan ketaqwaan kepada-Mu agar hari-hari yang kami lalui di dalam bulan yang penuh barakah ini mendapat segala kelebihan yang Engkau janjikan. Hijabkan hati kami dari melakukan segala dosa kepada-Mu. Sesungguhnya kami tidak mampu melainkan dengan petunjuk dan keizinan dari-Mu ya Rabb..”

Selamat Berpuasa


Sunday, August 1, 2010

Islam Hanya Nama

عَنْ عَلِيّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ, قَالَ رَسُولُ اللهِ (ص) : يُوشِكُ أَنْ يَأْتِيَ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ لا يَبْقَى مِنَ الإِسْلامِ إِلا اسْمُهُ وَلا يَبْقَى مِنَ الْقُرْآنِ إِلا رَسْمُهُ مَسَاجِدُهُمْ عَامِرَةٌ وَهِىَ خَرَابٌ مِنَ الْهُدَى عُلَمَاؤُهُمْ شَرُّ مَنْ تَحْتَ أَدِيمِ السَّمَاءِ مِنْ عِنْدِهِمْ تَخْرُجُ الْفِتْنَةُ وَفِيهِمْ تَعُودُ

{رواه البيهقي}

Maksudnya :

Daripada Ali Bin Abi Thalib r.a berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w : Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya dan tiada tinggal lagi daripada Al-Quran itu kecuali tulisannya. Masjid-masjid tersergam indah tetapi kosong daripada hidayah. Ulamak mereka adalah sejahat-jahat yang ada di bawah naungan langit. Dari mereka berpunca fitnah dan kepada mereka fitnah itu kembali.

R.A AL-BAIHAQI

Barangkali sudah tiba masanya seperti yang digambarkan oleh junjungan besar kita Rasulullah s.a.w apa yang berlaku di zaman kita ini. Walaupun dalam kelompok masyarakat yang majoriti beragama Islam namun tidak terzahir keislaman yang mereka anuti. Lebih malang anak kecil yang berketurunan Islam dinamakan dengan nama yang bukan Islam dan tidak menggambarkan keturunan Islam malah menyerupai keturunan bukan Islam. Tambahan identiti yang mereka tonjolkan tidak sedikit menepati watak seorang muslim. Jika inilah yang terjadi, dimanakah Islam kalau tidak dizahirkan oleh penganutnya dari pelbagai aspek. Islam tidak pernah malang, padahal kitalah yang teramat malang.

Monday, June 7, 2010

Ibuku..di sana ada syurga menanti!

Pemuda berusia 24 tahun itu tidak tidur pada malam 24 Januari 2002. Sejak tadi, dia asyik mencatat sesuatu pada sehelai kertas.

Catatan itu lahir dari hati nuraninya yang tulus. Pemuda ini mahu, catatannya nanti akan dibaca bukan sahaja oleh ibunya bahkan untuk adik-adiknya, ahli keluarganya, seluruh warga bumi Palestin, seluruh umat Islam dan semua masyarakat dunia yang cintakan kedamaian dan kebebasan di muka bumi Allah ini. Harapanya biarlah catatannya ini akan menjadi peransang kepada pemuda sebangsa dan seagama dengannya berjuang dan terus berjihad melawan musuh.

Pemuda ini tidak rela tanah airnya dinodai, bangsanya dihina, maruah gadis-gadis dicabul dan diperkosa musuh dengan sesuka hati.

Seperti mana pejuang-pejuang terdahulu, pemuda ini telah merancang sesuatu untuk menyekat kemaraan dan kerakusan musuh dari terus bermaharajalela di kampung halamannya. Dia bersama sahabat baiknya akan bertindak dahulu sebagai amaran kepada musuh yang mungkin akan memasuki kampungnya selepas segala rancangan untuk menghalau penduduk kampung jiran disempurnakan.

Sebaik surat ini siap ditulis, dia akan pergi bersama Hamdi melakukan satu misi sulit yang perlu dilakukan segera. Surat itu ditujukan atas nama ibunya dan diletakkan di atas meja dalam kamar ibu sementara ibunya sedang menyediakan sarapan pagi. Si ibu agak kehairanan kerana melihat anaknya terkejar-kejar seperti ada sesuatu hendak dilakukan segera dan hanya sempat menjamah secebis roti.

Si ibu meneliti sekeping kertas yang diselitkan di bawah sikat miliknya lalu segera membacanya dengan penuh rasa hiba.

“ Ibuku, sesungguhnya aku akan pergi meninggalkanmu, maka bergembiralah kerana selepas kematian itu ada syurga menanti. Sebaik mendengar berita kematianku, bertakbirlah wahai ibu!

“ Ampunkan dosaku sekiranya selama ini aku cuai dalam melaksanakan hak mu wahai ibu. Demi Allah, aku ingin nyatakan bahawa di saat aku menulis kalimah-kalimah ini, air mataku berguguran jatuh.. Hatiku bimbang jika perjuanganku ini tidak mendapat restu darimu ibu..

“ Tapi apakan dayaku.. Di sana ada syurga Allah, anugerah yang paling mahal, tidak ternilai.. Bersabarlah wahai ibuku, sesungguh janji-Nya untuk kita yang berjuang adalah syurga. Bukankah itu cita-cita yang kita impikan wahai ibuku tercinta..?

“ Didiklah adik-adikku seperti mana engkau telah mendidikku supaya cintakan jihad fi sabilillah dan doronglan mereka supaya menghampiri masjid dan mendampingi ulamak-ulamak supaya mereka dapat belajar daripada al-Quran kalamullah.”- Hosam Mahmoud Al-Ghulam.

Esoknya, televisyen al-Jazeera melaporkan dua pemuda Palestin telah terbunuh sewaktu cuba melakukan serangan ke atas trak yang membawa askar-askar Israel di sempadan Ghaza. Mereka syahid serta merta ditempat kejadian selepas seluruh badan mereka ditembusi peluru. Dua pemuda yang syahid itu ialah Hosam Mahmoud Al-Ghulam, 24 dan Hamdi Abdelrahman, 23.

Si ibu merelakan pemergian anaknya kerana anaknya itu syahid untuk membebaskan tanah airnya yang tercinta. Ibu yakin itulah semulia-mulia pemergian seorang pejuang yang berjuang di jalan Allah. Mengertilah si ibu bahawa anaknya itu terkejar-kejar kerana sudah tidak sabar untuk bertemu dengan Tuhannya. Sewaktu mencium jenazah kali terakhir, ibunya terbau kasturi dari roma wajah anaknya yang tersenyum manis seperti telah mendapat sebuah kejayaan.

Sambil menitiskan air mata, si ibu tersenyum bangga dengan kesyahidan anaknya tercinta. Anakku.. di sana ada syurga menantimu!